Labels

Translate

Monday 18 July 2016

ANUGERAH

       


  Julai 2010 merupakan detik awal aku berhijrah dari kehidupan kerjaya di kotaraya yang cukup meletihkan jiwa kepada kehidupan desa yang lebih tenang. Cuti belajar tanpa gaji selama setahun setengah yang akhirnya berlanjutan kepada tiga tahun yang indah. Ah.. betapa bahagianya dapat kemana saja tanpa perlu mengejar masa

          Sesekali kala waktu terluang dapat pula singgah menziarah seorang kakakku yang tinggal berdekatan. Dia adalah seorang antara dua kakak yang punya bakat seni yang sangat tinggi. Walaupun langsung tak pandai melukis, aku sangat menghargai lukisan, apatah lagi bila mengenangkan kakak-kakak inilah yang banyak membantu mengajarku tentang kaedah mewarna dan pernah pula lukisanku itu ditampal di dinding kelas tanpa sesiapa pun tahu kakaklah pelukisnya! :-) 

           Dalam banyak lukisan kakak, yang paling aku suka ialah gambar pemandangan. Dan Allah telah ilhamkan aku untuk meminta kakak lukiskan gambar pemandangan yang cantik untuk kulekatkan di dinding rumah yang tika itu masih dalam pembinaan. Bila sebut cantik padaku haruslah ada bunga. Dan tiada bunga yang lebih dekat di hati ini selain tulip. Nama 'Tulip Biru' telah beberapa kali kugunakan dalam menulis karya kreatif. Kenapa? Kerana tulip padaku adalah bunga yang ceria dan menceriakan. Warnanya, kembang kuntumnya, tegaknya berdiri.. seperti sedang mengucapkan, "Hai! Usahlah bersedih hati.. Hidup perlu diteruskan". Ia memberi inspirasi kepadaku untuk hidup memberi inspirasi kepada orang lain walau dalam situasi sesukar manapun. 

          Masa berlari laju. Kesibukan pengajian menimbus ingatanku terhadap tulip itu. Namun semangatnya tak pernah luput dalam diriku. Sementelah bidang ilmu yang kutekuni selama 3 tahun itu menuntutku untuk menjadi tulip yang teguh di mata mereka yang sedang dilanda taufan jiwa. Tamat tempoh cuti belajar yang panjang itu aku kembali ke pejabat dengan langkah kaki yang berat amat. 

          Terlalu lama aku tiada di menara kaca itu sehingga wajah-wajah tak dikenali yang kutemui bertanya, adakah aku pekerja baru? Ya, tempoh 10 tahun mungkin baru untukku, namun cukup lama untuk rakan-rakan sejawat yang rata-rata sudah 3 kali melalui kenaikan pangkat. Hmm.. sejak mula bertugas pada tahun 2000, pangkat dan nama bukan matlamatku, yang lebih penting bagiku ialah kepuasan bekerja. Sesuatu yang tak pernah aku rasa dalam kerjaya konvensional penuh peraturan yang sangat bertentangan dengan personaliti artistikku. Dan aku kembali bekerja bagai robot tanpa jiwa. 

          Hanya satu tahun enam bulan aku mampu bertahan. Tulip dalam diriku tak mampu tersenyum lagi. Terbiar tanpa baja pun masih teguh ia berdiri, namun bila sering diracun negativiti lambat laun layu jua ia. Sebahagian dari diriku mahu bertahan, sementelah merasakan kehadiranku kembali menyuntik semangat dalam diri rakan-rakan, khususnya yang kurang dihargai di situ. Namun sisi diriku yang telah pernah tersayat luka membasah lagi dek karenah manusia yang merasa hanya dirinya penting. Tega menghancurkan persahabatan demi menjaga nama baik sendiri. Gaji setinggi manapun tak mampu lagi membeli hati dan maruah diri yang remuk dihenyak. Tulipku telah terlalu layu dan ia perlukan padang yang lebih hijau untuk mekar semula. 

          Lalu kutinggalkan kotaraya, jua cinta pertama alam kerjaya, kali ini buat selama-lamanya! Rindu desa tercinta menggamit sirih pulang ke gagang. Nostalgia panjat pokok, terjun sungai, sauk udang kala petang pulang sekolah kini kembali dekat di hati. Zaman kerja yang menekan jiwa sudah tinggal sejarah. 

            2016... Setahun sudah aku lalui hidup tanpa menanti gaji tiap hujung bulan. Mungkin ada yang mengatakan aku tidak waras, terlalu ikutkan emosi. Gila apa, sanggup tidak bergaji sedangkan komitmen kewangan masih berbaki 15 tahun. Teringat kata-kata berbaur sinis dari bosku dulu, ada simpanan sejuta bolehlah pencen awal.. Oh, aku bukan orang yang sayangkan duit sampai mampu melihat saja wang sebanyak itu tercatat di buku. Walau perit tiada lagi duit sendiri untuk belanja, ia bukanlah masalah besar bagiku. 

           Kala memilih untuk kembali ke desa aku telah bersedia untuk hidup seadanya. Petik saja apa yang ada di keliling rumah, asal rajin berbudi pada tanah, aku yakin rezekiNya ada. Benar, hidup yang tidak mewah lebih mendidik jiwa mensyukuri nikmatNya. 

            Dalam hal ini aku banyak belajar daripada kakak yang lebih dulu meninggalkan kerjayanya demi keluarga. Pandangan mata seninya mampu melihat keindahan pada setiap perkara. Dan aku hampir terlupa tentang sekeping gambar pemandangan yang indah itu, sehinggalah ia terpapar di FB yang jarang-jarang kulawati. Wah... Bagai tidak percaya aku lukisan yang 'mahal' itu akan dihadiahkan untukku! Mahal kerana lamanya ia tersimpan, jua kerana ia hasil tangan dua pelukis yang sangat halus jiwa seninya. Kakak dan sahabat seperjuangannya yang pernah sama-sama melalui getir hidup sebagai pelajar jauh ribuan batu di bumi asing, terpisah sekembali ke tanahair dan bertemu semula di alam maya. Pada orang lain mungkin lukisan bebunga tulip yang mekar berbagai warna itu sekadar cantik di pandang mata, namun bagi aku dan pelukisnya, tersimpan seribu satu kisah suka duka dan airmata.. Hanya Dia Yang Tahu!

~bakal bersambung......


~seperti yg diceritakan kembali oleh tuan empunya lukisan, novelis Rahimi Saidin.






~~

No comments:

Post a Comment